Fadhilat Dan Kelebihan Bangun Solat Tahjud
Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan
kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang
jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia
menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya
mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan
solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit
terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas
untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia
menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat
dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan,
dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun
malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala
jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis riwayat Abu
Daud)
Amalan solat malam bukan hanya diamalkan
Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini
bererti perintah mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada
umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.
Saidina Umar al-Khattab menyatakan
kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam
(tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara,
lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-
- Jauh daripada segala penyakit
- Lahir kesan taqwa pada wajahnya
- Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
- Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
- Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
- Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
- Dipermudahkan hisab
- Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
- Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”
Solat malam adalah solat yang penting
antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya,
“Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Beliau
menjawab dengan tegas, “Solat malam!” (Hadis Riwayat Muslim).
Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:
- Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
- Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk ayat 79).
- Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
- Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
- Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).
Beberapa petikan hadis berikut menyebut
beberapa fadilat dan keindahan lain solat malam. Antaranya adalah hadis
daripada Abdullah bin Amr bin Al-‘Ash yang berbunyi, Rasulullah S.A.W
berkata kepadaku, “Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah
mendirikan solat malam kemudian meninggalkannya,” (Hadis Riwayat
Bukhari-Muslim).
Salman al-Farisi menceritakan,
Rasulullah S.A.W berkata, “Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah
kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan,
penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”
Salim bin Abdullah bin Umar bercerita
kepada Hafshah, isteri Rasulullah S.A.W, “Ketika Rasulullah S.A.W masih
hidup, biasanya apabila seseorang bermimpi, dia menceritakan mimpinya
itu kepada Rasulullah S.A.W. Saya berharap mendapat mimpi supaya dapat
menceritakannya kepada beliau. Semasa masih muda, biasanya saya tidur di
masjid. Suatu ketika, saya bermimpi seakan-akan dua malaikat memegang
dan membawaku ke neraka yang dibina seperti perigi dan memiliki tanduk.
Di dalam perigi itu ada beberapa orang yang saya kenal. Saya lalu
berkata, “Saya berlindung kepada Allah dari neraka.” Saya bertemu dengan
malaikat lain yang berkata padaku, “Jangan takut.” Mimpi ini
disampaikan oleh Hafshah kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau berkata,
“Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah ketika mahu solat malam.” Selepas
itu, dia hanya tidur sebentar sahaja di malam hari.
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah
S.A.W berkata, “Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur dengan tiga
ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang,
maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingat Allah, maka
terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan.
Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari,
kamu segar dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu
berasa lesu dan malas.”
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah
S.A.W berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada
sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku,
pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan
sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’” (Hadis Riwayat
Al-Jama’ah).
‘Amr bin Al-‘Ash meriwayatkan Rasulullah
S.A.W berkata, “Sedekat-dekat hamba kepada Allah adalah pada tengah
malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang
berzikir mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat
Al-Hakim).
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah
S.A.W berkata, “Apabila seseorang membangunkan isterinya pada waktu
malam, lalu kedua-duanya solat dua rakaat, maka mereka tercatat dalam
golongan orang yang selalu berzikir.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Semoga kita mendapat hidayah dan keberkatan dari Nya. In Shaa Allah
Sumber: Fadhilat Dan Kelebihan Bangun Solat Tahjud | Fuh.My
No comments:
Post a Comment