Misteri! Benarkah Kewujudan Batu Tergantung Di Al-Aqsa?
Misteri! Benarkah Kewujudan Batu Tergantung Di Al-Aqsa? | Apabila menjelangnya hari peristiwa Isra’ Mi’raj, kita akan dihidangkan dengan ceramah bagaimana Nabi Muhammad SAW diangkat naik ke langit. Persoalan mula timbul, benarkah kewujudan batu tergantung yang disebut-sebut di Masjid Al-Aqsa. Seorang ustaz yang juga popular di siaran motivasi TV3 iaitu Ustaz Amin sempat menziarahi di sana. Bukan setakat itu sahaja, malah ustaz juga menghuraikan tentang persoalan batu tergantung di Al-Aqsa. Ikuti ulasan di bawah ini.
Pada ketika menjejakkan kaki ke al-Quds
ini, barang pertama yang saya ingin lihat ialah masjid al-Aqsa. Masjid
yang digalakkan oleh Nabi saw untuk berusaha datang dan beribadah di
dalamnya. Selepas itu, yang ingin saya saksikan ialah batu tergantung seperti yang selalu diceramahkan oleh para ustaz di Malaysia. Saya nak saksikan sendiri keadaan batu tergantung ini.
Ketika saya menjejakkan kaki di dalam Kubbah as-Sakhra’ Dome of Rock, mata saya terus mencari di manakan batu tergantung ini. Sekeliling
batu ini ditutup dengan kanvas untuk urusan baik pulih. Saya menyelak
kanvas penutup dan saya saksikan batu bewarna putih, coklat dan
kekuningan, tempat di mana Rasulullah saw diangkat ke langit untuk
Mikraj. Saya rasa terharu melihat batu ini kerana mempercayai
peristiwa isra dan mikraj merupakan sebahagaian dari iman. Ia termasuk
beriman kepada kitab iaitu mempercayai apa yang disampaikan oleh kitab
(al-Quran)
Saya berjalan-jalan di keliling masjid
as-Sakhra ini. Jaraknya antara al-Aqsa lebih kurang 400 meter. Pada hari
jumaat ia menjadi tempat solat bagi orang perempuan.
Di satu tempat saya melihat ada satu kubah kecil. Kubah kecil ini terdapat satu lubang semuat lengan. Ia adalah satu lubang untuk kita memasukkan tangan dan menyentuh batu ini. Kita dapat menyentuh batu yang menyaksikan mikraj Nabi ini. Ada lekukan pada batu yang dikhususkan untuk kita memegang ini, lekukan ini sebesar tapak kaki. Pemandu kami menyatakan bahawa ia bekas tapak kaki Nabi saw.
Di satu sudut, ada satu pintu ke bawah. Rupanya, di as-Sakhra terdapat satu gua. Ia disebut sebagai al-Magharah (gua). Gua ini tidak sampai 1/3 dari saiz batu yang berada di atasnya. Ramai orang yang bersembahyang di dalam gua ini.
Di satu sudut terdapat lekukan semulajadi pada batu ini. Penjaga di sini memberi tahu, di sini ialah tempat Nabi sembahyang. Ketika Nabi mula masuk ke dalam gua ini, gua ini kecil dan batu ini melekuk untuk mengelakkan Nabi dari terhantuk pada batu di dalam gua ini. Walau bagaimana pun, lekukan batu ini tidak terdapat di dalam mana-mana hadith Sahih.
Di tengah-tengah gua ini terdapat satu lubang semuat badan naik ke atas batu. Orang di sini ada yang memberi tahu, dari bawah gua inilah Nabi mulai naik Mikraj ke langit.
Saya tidak melihat batu ini tergantung. Jadi, kenapa orang banyak mengatakan batu ini tergantung? Untuk menjawab soalan ini, saya telah bertemu dengan imam masjid al-Aqsa. Syeikh Yusuf Abu Sunainah untuk berbincang mengenainya. Beliau ialah imam utama di al-Aqsa dan telah menjadi imam selama 29 tahun di sini. Beliau juga merupakan pensyarah di Jaamiah Ibrahimiah.
Pertemuan kami dengan Syeikh hingga ke
Maghrib. Beliau menyatakan, mengenai batu tergantung tidak terdapat di
mana-mana ayat al-Quran mahu pun hadith yang sahih, tetapi ramai para
Ulama’ yang menulis mengenainya.
Antaranya ialah,
Syeikh Muhamamd Jamal, di dalam kitabnya “Sirah ‘an Fadail Bait al-Muqaddis.
Syeikh Abdul Ghani al-Nablisi di dalam kitabnya ” al-Rahlah al-Unsiyyah Ila Diyar al-Qudsiyyah”
Catatan Imam al-Ghazali yang tujuh tahun
duduk di al-Quds dan selalu sembahyang di dalam al-Magharah ini.
al-Rihlaat fi Bilad as-Syam
Syeikh Mujiruddin al-Hambali di dalam kitabnya “Unsi al-Jalil fi Tarikh al-Quds wa al-Khalil.”
Kenapa ulama ini menulis seperti ini. Mustahil mereka berbohong atau berkhayal. Jadi ada tiga pendapat mengenai batu tergantung yang ditulis oleh para Ulama ini.
Kenapa ulama ini menulis seperti ini. Mustahil mereka berbohong atau berkhayal. Jadi ada tiga pendapat mengenai batu tergantung yang ditulis oleh para Ulama ini.
1. Memang ia tergantung setelah Allah membukakan keajaiban peristiwa ini pada ulama kita yang tidak diihat oleh orang lain. Ia dilalui secara kasyaf (hijab mata yang dibuka) untuk ulama ini hingga mereka dapat melihatnya.
Mungkin pada lailatul Qadar. Ia tidak dilihat oleh orang awam. Status
pengalaman ini boleh diceritakan tetapi tidak boleh dijadikan syarat
untuk diyakini kerana ia tidak terdapat di dalam al-Quran atau Hadith
yang sahih.
Bagi orang awam yang tidak melihat ia
tergantung, jangan kecewa atau terdetik mengenai yang tidak baik. Jika
kita melihat ia tidak tergantung maka, ia tidak tergantung. Orang yang
melihat tergantung, alhamdulillah, itu rezeki mereka.
Tetapi untuk mengatakan ia tergantung
sedang dia melihatnya batu ini tidak tergantung, ia tidak boleh. Ia
boleh menjadi perkataan yang dusta. Kecualilah perkatannya disandarkan
kepada ulama yang menulis seperti katanya :-
“menurut Syeikh Abdul Ghani al-Nablisi di dalam kitabnya, dia menyatakan bahawa……”
2. Pendapat kedua ialah para ulama menulisnya sebagai tergantung sebagai istilah memuliakan peristiwa ini.
Oleh kerana peristiwa ini peristiwa ajaib, maka, cara penceritaannya
juga digayakan dengan istilah-istilah ajaib dengan penggunaan istilah
bahasa sastera yang mempunyai makna tersirat. Sebagai contoh, di dalam
duduk antara dua sujud, kita ada meminta pada Allah “war fa’ni” (dan
angkatlah aku) Angkat di sini bukannya angkat sebenar terapung-apung.
Tetapi angkatlah darjat aku. Jadi istilah sastera yang digunakan
mempunyai makna kiasan yang perlu diteliti.
Ia sama seperti istilah taman tergantung
Babylon. Kita juga menggunakan istilah seperti ini contohnya “masjid
terapung.” Ia tidak benar-benar terapung, tetapi istilah, kerana
seolah-olah ia nampak terapung. Tujuannya menyatakan istimewanya masjid
ini.
3. Dengan wujudnya al-Magharah (gua) ini, batu ini seolah-olah terapung.
Ketiga-tiga pendapat, sama ada ia
tergantung sungguh, atau istilah bahasa, atau seolah-olah nampak
tergantung menjadikan para ulama menulis mengenainya.
Selain dari itu, ketika saya berbincang
hal ini dengan calon Phd di Universiti Of Jordan (saya bertamu di
rumahnya malam ini sebelum bertolak ke Turki esok), dia berpesan, agar lebih berhati-hati jika membaca kitab yang dicetak dari Beirut. Di sana kebanyakkannya syiah dan banyak kitab-kitab ulama kita yang telah diubah. Jika ingin membeli kitab lebih baik dari cetakan Kaherah Mesir, Damascus Syria atau Riyadh Saudi.
Perbahasan mengenai perkara ini merupakan
perbahasan yang panjang. Bagi kita yang menyaksikan, terpulanglah apa
maknanya. Walaupun dari sudut zahirnya ia tidak tergantung, tetapi ia
menjadi batu yang menyaksikan peristiwa Mikraj ini.
Datanglah dengan niat untuk bersembahyang di al-Aqsa kerana ini yang pernah disebut di dalam hadith. As-Sakhra hanyalah satu tempat di mana mikrajnya Nabi.
Tergantung atau tidak itu bukan matlamatnya, matlamatnya ialah
menyaksikannya, menambahkan keyakinan kita terhadap rukun iman iaitu
percaya pada kitab (al-Quran).
Tempat adalah penting, tapi yang lebih
penting adalah penghayatannya. Jika kita melihat ia tergantung, kemudian
mengagungkannya lebih dari mengagungkan Allah, ia tidak memberi makna
apa-apa.
Semoga, semakin hari, semakin iman kita terpelihara dari perkara yang boleh mengguris kesahihannya.
P.S. I – 6 Tempat Paling Best di Jepun!
P.S. II – 10 Tempat Eco Paling best di UK
P.S. III – Tasik Ais Gergasi Dijumpai Saintis di Marikh
P.S. II – 10 Tempat Eco Paling best di UK
P.S. III – Tasik Ais Gergasi Dijumpai Saintis di Marikh
Sumber : Ustaz Amin
No comments:
Post a Comment